Gelora asmara remaja juga selalu dibangunkan melalui lagu-lagu cinta berahi dan juga iklan-iklan produk di televisyen. Berapa banyak lagu-lagu cinta yang mengasyikkan, yang mengkhayalkan malah yang membolehkan jiwa remaja menerawang jauh ke alam fantasi. Teringat sebuah lagu di tahun-tahun 90-an dahulu antara lain liriknya “…memadu asmara buaian embun pagi…” sangat jelas ia adalah lagu yang menggalakkan perlakuan asmara di kalangan pasangan yang hangat bercinta. Juga di tahun-tahun millennium ini terlalu banyak lagu-lagu picisan yang tiada nilai moral serta iman di dalam liriknya. Antaranya yang begitu syahdu didengari ialah lirik yang berbunyi “…rasa yang pernah kau beri..cinta yang pernah kau bagi…”
Inilah di sebalik apa yang kita lalui sekarang ini. Kita hanya melihat dan menerima tanpa berfikir seketika. Jika dalam tahun-tahun 90-an dulu tiada sebarang iklan tuala wanita disiarkan di televisyen mahupun di radio. Namun malangnya kini, rasa malu itu sudah hilang. Tuala wanita ditayang-tayangkan dengan terperinci tanpa sebarang rasa aib dalam diri. Teringat dulu iklan tuala wanita yang sangat mendapat sambutan di kalangan pelajar-pelajar remaja lelaki ..antara lain dialognya menyebut..”Alah…K***X kan ada…” Ya tuhan..apa sudah jadi sekarang ini..maruah wanita dijaja di merata-rata di setiap rumah malah di depan sesiapa sahaja.
Bagi menghasilkan lagu-lagu yang sedap didengar dan susah dilupakan,tidak perlu meletakkan lirik galakan asmara di dalamnya. Apa yang perlu adalah melodinya yang indah. Sudah terang dan jelas di dalam Islam mengatakan bahawa lagu yang dilarang dalam Islam ialah lagu yang mendorong kepada kemaksiatan dan menjurus ke arah cinta berahi antara lelaki dan wanita. Saya sendiri bila menghubungi pelajar pasti akan kedengaranlah ringtone lagu-lagu yang saya sangat yakin ia berbaur lucah berdasarkan lirik dan rentaknya, tetapi itulah yang menjadi pujaan remaja. Teringat semasa menyertai demontrasi menentang kehadiran kumpulan artis lucah dari Barat iaitu Vengaboys yang hendak membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2001. Antara lirik lagunya ialah “ If you're alone and you need a friend,Someone to make you forget your problems, Just come along baby, Take my hand, I'll be your lover tonight, Boom boom boom boom, I wanna double boom, Let's spend the night together, Together in my room ".
Hakikatnya banyak lagu kini yang tidak menggoncang gelora asmara remaja pun tetapi ia sedap didengar sentiasa. Antaranya lagu “Hikmah Kembara” yang mana antara liriknya ialah “Berjalan, bermusafirlah, melihat kebesaran tuhan ,yang diciptakan untuk,mereka yang berfikir, dan bersyukur di atas nikmat, dan kurnianya,nilai harganya, iman dan taqwa, bagi hamba yang setia” dan terdapat banyak lagi lagu-lagu yang menyentuh jiwa supaya menuju kebaikan seperti ini. Persoalannya tepuk dada tanyalah iman. Kamu mahu pahala atau mahu dosa? Di sinilah kita diuji dengan kuasa memilih. Sesungguhnya jalan yang luas itu sering membawa kehancuran dan jalan yang sempit itu membawa kepada kenikmatan iman.
Didiklah nafsu itu ke arah kebaikan. Sibukkan dirimu dengan pelbagai aktiviti berfaedah sehingga tidak sempat untuk berfikir walau sepicingpun soal asmara. Bukan mahu menolak fitrah, jauh sekali. Tapi jika masih belum sampai masanya maka hindarilah ia. Sesungguhnya jalan menuju asmara itu masih jauh untuk kamu lalui. Dan diri yang menulis ini pun berlumuran dengan dosa kerana tidak sempurna sebagaimana Rasulullah. Sekadar memberi pendapat untuk perkongsian bersama,kerana takut-takut di akhirat nanti akan ada persoalan tentang apakah yang telah aku lakukan untuk kepentingan umat. Wallahu’alam bissawab..
Monday, October 10, 2011
Budaya Couple Di Kalangan Siswa dan Siswi (Bhg 2)
9:31 PM
Insaniah Club Members
No comments
Bayangkan apa perasaan remaja yang masih belum bernikah apabila menonton filem dan drama sebegini. Pasti akan timbul perasaan teringin, rasa seronok dan sebagainya mahu mencuba apa yang masih belum dirasai sebagaimana yang dilakukan oleh para pelakon tersebut. Bahkan dalam filem dan drama yang kononnya berunsurkan Islam sendiri terlalu banyak adegan berahi dipaparkan sebagai daya tarikan kepada penonton. Sesungguhnya Islam di zaman ini hanyalah sekadar kulit semata-mata. Bak kata Bob Lokman, bukan sekadar drama itu dipertikaikan tapi di sebalik pembikinan drama itu bagaimana situasinya. Kita sering menuding jari ke arah filem-filem dari Barat yang kononnya menjadi punca remaja runtuh akhlaknya. Usah lagi kita semberono menuduh sebegitu kerana mereka itu memangnya kafir, dan itulah kerja-kerja orang kafir. Persoalannya kita orang Islam, filem yang bagaimanakah yang telah kita hasilkan?
Inilah dia contoh zikir-zikir harian remaja yang membawa kepada bergoncangnya gelora asmara remaja dalam alam tanpa sempadan kini. Tidak kurang juga iklan-iklan produk di televisyen yang sangat tiada etika dan tiada nilai menjaga maruah terutamanya di kalangan wanita. Lihat sahaja iklan produk minuman yang dikatakan mampu menambahkan kejantanan lelaki juga kewanitaan wanita. Juga produk penjagaan badan yang agak “kurang ajar” untuk dipertontonkan. Juga produk tuala wanita yang amat aib untuk diketengahkan. Betapa banyak dialog iklan yang menjurus ke arah panahan asmara. Antaranya..” Yang….abang dah balik…”, “..saya di bilik bang….”..kemudian lampu dipadamkan. Apakah maknanya itu? Sehingga kanak-kanak bertanya kenapa perlu tutup lampu sedangkan suaminya baru balik. Teringat kata-kata daripada seorang pengusaha produk homeopaty, beliau mengatakan rasa marahnya terhadap iklan-iklan produk minuman penambah tenaga yang mengandungi tongkat ali. Menurut beliau produk tersebut tidak sesuai diiklankan sebegitu rupa kerana minuman tersebut hanya sesuai diminum oleh lelaki yang sudah berumahtangga disebabkan ia menambahkan tenaga batin. Bayangkan kata beliau jika minuman tersebut diuar-uarkan kepada semua remaja lelaki yang belum bernikah, jika mereka meminumnya apa akan terjadi? Ke mana mereka hendak melepaskan perasaan tersebut, isteri tiada dan ke mana mahu disalurkan?
Majalah-majalah hiburan picisan juga banyak menyumbang ke arah bergelodaknya gelora asmara remaja. Gambar-gambar artis wanita yang hanya berkemban cara moden menunjukkan lurah-lurah dendam juga skirt separas pangkal paha. Tanyalah kepada remaja lelaki apa perasaan mereka bila melihat malah menilik gambar tidak senonoh tersebut. Pasti jawapannya , mereka rasa teruja. Begitu juga dengan adegan-adegan artis lelaki yang tidak berbaju malah berseluar di atas paras lutut, jika tidak kena caranya ia juga mampu mengusik gelora asmara remaja wanita.
Ingin juga saya sebutkan di sini punca yang membawa kepada salah saluran gelora asmara remaja ialah kerana perkahwinan yang terhalang atas beberapa alasan tertentu. Antaranya masih belajar, belum mendapat kerja tetap juga kerana hantaran terlalu tinggi. Sering kedengaran jerkahan-jerkahan sebegini “Kamu orang semenanjung apa yang kamu tahu adat kami orang Sabah”..”Kamu Indonesia …apa yang kamu tahu adat kami di bumi Malaya ini”..Tapi yang peliknya gadis-gadis yang sudah terlanjur dikahwinkan dengan sebaiknya tanpa sebarang soal jawab berkaitan hantaran. Sedangkan gadis itu sudah “ditebuk tupai” sepatutnya ia perlu dibayar lebih lagi. Adat itu terlalu diagung-agungkan mengalahkan agungnya syariat Islam. Ini sangat menyedihkan. Di kala anak-anak sudah wajib bernikah dan sudah meminta izin dengan cara terbaik tetapi ia diperleceh-lecehkan dengan adat yang sangat mahal harganya. Tidakkah terfikir jika pernikahan itu ditangguhkan lagi akan berlaku mudarat yang lebih besar iaitu zina! Tidakkah terfikir betapa mulianya zuriat yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah yang ringan maharnya berbanding daripada zuriat yang lahir hasil daripada zina. Na’uzubillah..
Video pendedahan keruntuhan akhlak remaja kini:
Jika diperincikan lagi sebenarnya ada banyak lagi faktor yang mendorong kepada salah laku asmara di kalangan remaja kini. Cuma ini adalah antara faktor yang kelihatan besar daripada yang besar tapi tidak berapa kelihatan. Bukan kita mahu sekadar mencari punca masalah, tetapi kita juga mahu mencari alternatif kepada penyelesaian masalah yang sudah menjadi barah itu. Hati mana yang tidak marah dan sakit bila mana sering diberitakan berlakunya pembuangan bayi merata-rata. Jiwa mana yang tidak tersentap dengan perlakuan remaja yang sanggup mencampak bayi dari tingkat lima pangsapuri, bayi dibakar hidup-hidup, dicampak ke sungai malah ada yang dimakan oleh anjing jalanan. Seperti tidak percaya, itu berlaku di Malaysia. Benarlah kata seorang ustaz di radio IKIM.FM yang mengatakan jika sebelum ini kita terkenal dengan belia 4B, sekarang kita dikenali dengan belia 6B, jika saya tidak silap ia itulah B: Bohsia, B: Bohjan, B: Buncit, B: Bayi B: Buang.B: Bunuh Astagfirullah hal ‘azim.
Sekarang jika nilai pula apakah cara terbaik untuk menghindar juga menyelesaikan masalah berkaitan gelora asmara remaja yang kian gawat ini. Pertamanya sudah pasti pihak yang berkuasa mampu mengubah semua ini di peringkat dasar. Antaranya, Lembaga Penapisan Filem (LPM) perlu rapatkan lagi tapisan yang sedia ada. Perlu kecilkan lagi tapisan yang terngaga luas itu dengan standard penilaian iman. Perlu mereka ingatkan, amanah yang dipikul itu akan dipersoalkan satu persatu di hadapan Allah Ta’ala kelak. Jika tapisan itu disalut dengan keimanan maka akan tiada lagi adegan-adegan peluk cium, adegan separuh ghairah malah menggiurkan yang boleh merosakkan minda remaja. Saya pernah terbaca dalam satu artikel dalam sebuah majalah menyebut, seorang remaja hatta kanak-kanak jika terpandang sesuatu yang mengghairahkan maka ia akan terkenangkan perkara itu sampai bila-bila. Ini sangat bahaya. Bukan itu sahaja, penerbit-penerbit filem dan drama juga sepatutnya ada rasa tanggungjawab dalam setiap karya yang dihasilkan, apa perlunya adegan pergaulan bebas dan adegan panas dalam sesebuah cerita. Mereka perlu berhijrah ke arah filem yang lebih islamik dan yang lebih islamik.
Begitu juga halnya dengan berkaitan dengan iklan-iklan dan majalah-majalah di pasaran. Kitalah yang wajib pandai memilih. Kamu mahu syurga atau neraka? Mungkin ada yang berpendapat “alah…benda dah ada tengok je lah..membazir pula kalau tak tengok”..Juga ..” Alah..tengok kejap je bukannya buat apa pun..” Sering mendengar alasan sebegini dari pelbagai pihak. Teringat kata-kata seorang ahli parlimen yang mengatakan beliau pernah membangkitkan isu moral etika remaja ketika persidangan di parlimen, malangnya isu tersebut diperlekeh-lekehkan oleh ahli parllimen yang lain. Wah..betapa gawatnya kalau begini. Jika isu ini dipandang remeh maka tunggulah kehancuran akan menimpa kita. Bukan kehancuran seperti tsunami tetapi kehancuran akhlak yang lebih teruk daripada remaja-remaja yang ada di Barat. Beliau juga mengatakan bahawa, memandangkan segala apa yang berlaku kini susah dikawal dan disekat maka, kitalah yang perlu pandai memilih. Maka dengan itu pilihlah berlandaskan iman dan takwa.
Berbalik kepada persoalan terhalangnya pernikahan tadi, Rasulullah SAW telah berpesan:
“Hai Ali, ada tiga perkara yang jangan kamu tunda-tunda pelaksanaannya, iaitu solat apabila sudah tiba waktunya, jenazah bila sudah siap urusan segera penguburannya, dan wanita bila sudah ada laki-laki sepadan yang meminangnya” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).
Untuk apa ditangguh-tangguhkan sebuah keinginan yang amat dalam. Adakah perlu menunggu musibah menimpa? Oleh itu pada saya ibu-bapa kini perlu bersikap lebih terbuka dalam soal nikah kahwin anak-anaknya. Bukankah nabi telah mengingatkan kepada kita bahayanya menangguh-nangguhkan pernikahan seorang gadis apabila ia telah sampai ke takah wajib. Tidak perlulah mengadakan kenduri besar-besaran kerana sesungguhnya keberkatan itu yang perlu bukannya “glamour”.
Hadis Riwayat Al Bukhari ada mencatatkan, Rasulullah SAW bersabda, "Adakanlah walimah, walaupun hanya dengan seekor kambing." Bukti jelas menunjukkan percepatkanlah pernikahan remaja kerana itu mampu membendung kerosakan di muka bumi ini. Teringat akan seorang pakar motivasi yang mengatakan kesemua anak-anaknya dinikahkan di awal usia 20-an bagi mengelakkan mereka terjebak dengan maksiat. Memang benar dalam dunia penuh cabaran iman kini, terlalu banyak perkara yang menjerat ke arah maksiat. Maka ubat untuk menangani gelora asmara remaja adalah pernikahan. Itulah saluran yang terbaik.
Itulah serba sedikit yang dapat kita bincangkan berkaitan isu gelora asmara remaja. Seseungguhnya rasa asmara itu sememangnya fitrah, namun remaja perlu pandai mengatur fitrah anugerah Allah tersebut. Bukan digunakan sewenang-wenangnya. Tetapi di susun atur dengan cara mengikut syariat Allah. Saya menulis di sini adalah atas kesedaran betapa hanyutnya remaja kita kini, tetapi bukanlah semuanya. Hanyutnya mereka kerana faktor-faktor luaran yang tidak terkawal. Di sana sini gelora asmara mereka diusik-usik. Perlu kita ingat bahawasanya nafsu asmara itu ibarat singa yang sedang tidur lena lalu dikejutkan. Sekali ia diusik maka ia akan mengaum kemarahan. Kerana itu usah diusik nafsu asmara dengan menonton, melihat, mendengar dan menghayati perkara yang menjurus kepada bergelojaknya nafsu itu.
0 comments:
Post a Comment