Tuesday, February 21, 2012

Syria Revolution


Mengenang nasib saudara sesama Islam dan Akidah di wilayah Syria sana, amatlah memilukan hati ini.

Perlakuan zalim oleh sang penguasa yang rakus telah menyebabkan rakyat menderita berabad-abad lamanya. Ibarat luka yang kecil apabila tidak dijaga, pasti ia akan membesar dan membarah. Ibarat marah yang terus dibakar bertahun-tahun. Maka pasti ia sudah membuak-buak, walaupun peluru berada seinci di hadapan mata sekalipun.



Bukan lagi takut dijadikan keutamaan, tetapi perjuangan keadilan wajib ditegakkan sehingga akhir. Itulah akibatnya apabila jiwa dan jasad dikongkong derita lamanya.



Begitulah perumpamaan derita yang dihadapi oleh saudara kita di sana, mereka tetap hidup menderita dan merempat walaupun bekerja keras pada hari-harinya. Yang miskin terus menderita, yang kaya terus bersenang-lenang. Hasil kekayaan negara berlegar-legar hanya untuk kroni-kroni yang buncit.



Sayunya hati ini apabila melihat mayat-mayat suci bergelimpangan, luka-luka masih lagi bernanah. Anak-anak kecil kehilangan ibu dan ayah. Isteri muda menjadi balu. Semuanya menderita akibat pemerintah yang sangat kejam, rakus dan tamak.

Sepatutnya mereka menjaga amanah seperti apa yang termaktub dalam kitab dan sunnah. Tetapi benarlah kata nabi saw, bahawa akan ada suatu masa nanti ‘Pemerintah tetapi berhatikan ‘SYAITAN’. Kita semua telah menyaksikannya hari ini.



Wahai Saudara Seakidah Ku, janganlah kamu berputus asa melawan sang durjana kerana ingin mempertahankan hak-hak kamu, darah kamu, agama kamu, harta kamu dan negeri kamu. Percayalah, pasti dan yakin bahawa kejayaan dan syurga terbentang luas di hadapan kamu. Jika di dalam perjuangan kamu rebah, maka kamu pasti syahid, tetapi jika kamu berjaya, pahala besar menanti kamu kerana telah menumbangkan musuh-musuh Allah dan Rasulnya.



Ingatlah sabda nabi yang membawa rahmat sekalian alam pernah menyebut:


“Sesiapa yang terbunuh kerana membela hartanya, maka ia mati syahid, sesiapa yang terbunuh kerana membela keluarganya, atau kerana membela darahnya, atau kerana membela agamanya, maka ia mati syahid.”




Oleh itu, wahai teman-teman dan saudara-saudara saya yang dekat mahu pun yang jauh. Ayuh! mari kita sama-sama mendoakan kesejahteraan mereka di setiap saat kadar yang ada pada kita semua. Itulah senjata yang paling kuat yang ada pada kita.



Ingatlah sabda junjungan Nabi saw kepada kita selaku saudara buat mereka iaitu dengan menyebut:

“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia mengasihi kebaikan untuk dirinya sendiri”



Ayuh! teman-teman yang beriman pada Allah dan hari akhirat.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop