Assalamualaikum...
BersamaMu Ya Rasulullah S.A.W
Sahabatku, Islam sampai kepada kita saat ini tidak lain berkat jasa baginda Nabi Muhammad S.A.W sebagai utusan penyampai risalah Allah S.W.T yang benar dan diredhai. Saat di padang mahsyar nanti, setiap umat Islam pasti akan meminta syafa’at daripada baginda S.A.W dan ingin berada di barisan baginda S.A.W. Namun, tidaklah cukup sekadar pengakuan. Pasti yang mengaku umat baginda S.A.W akan berusaha mengikuti jejak baginda dengan mengikuti sunnah-sunnah baginda, sentiasa membasahi bibir mendoakan baginda serta melazimi selawat kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W.
Sejarah tidak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah S.A.W tercinta, Sayyidina Muhammad Sholallohu ‘alaihi wa sallam hingga salah seorang isteri Rasulullah, Sayyidatina A’isyah Rodhiyallahuanhamengatakan bahawa akhlak Rasulullah S.A.W adalah “Al-Qur’an”. Tidak satu perkataan Rasulullah merupakan implementasi dari hawa nafsu baginda, melainkan adalah berasal dari wahyu Ilahi. Begitu halus dan lembutnya perilaku baginda. Rasulullah S.A.W adalah utusan yang mempunyai sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.
Beliau pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, beliau adalah contoh yang ringan tangan dan tidak segan silu untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu dikisahkan bahawa baginda tiada merasa jijik makan disamping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Rasulullah S.A.W adalah ikon umat Islam yang paling sabar di mana ketika itu pernah kain baginda ditarik oleh seorang badwi hingga membekas merah dilehernya, namun beliau hanya diam dan tidak marah.
Dalam satu riwayat dikisahkan bahawa ketika Rasulullah S.A.W mengimamkan solat berjemaah, para sahabat mendapati seolah-olah begitu sukar untuk baginda berpindah rukun dan terdengar bunyi yang aneh. Selesai solat, salah seorang sahabat, Sayyidina Umar Al-Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah baginda menanggung penderitaan yang amat berat. Sedang sakitkah engkau ya Rasulullah? Jawab Rasulullah S.A.W : “Tidak ya Umar. Alhamdulillah aku sihat dan segar.” Berkata Umar lagi: “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuhmu, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh baginda saling bergesekkan? Kami yakin engkau sedang sakit”. Desak Sayyidina Umar penuh cemas.
Akhirnya, Rasulullah S.A.W pun mengangkat jubahnya. Para sahabat pun terkejut ketika mendapati perut Rasulullah S.A.W yang kempis dililit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang mengeluarkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah S.A.W bergerak. Para sahabat pun berkata : “Ya Rasulullah, adakah bila baginda menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk engkau?”. Baginda Rasulullah S.A.W pun menjawab dengan lembut : “Tidak wahai para sahabatku. Aku tahu, apapun akan kalian korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawapanku nanti dihadapan Allah, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari Allah SWT buatku, agar kelak umatku tidak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti. Betapat agungnya peribadi Rasulullah S.A.W sehingga para sahabat yang ditanya oleh seorang badwi tentang akhlak baginda S.A.W hanya mampu menangis kerana tak sanggup untuk menggambarkan betapa mulia akhlak baginda S.A.W. Baginda diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak manusia dan sebagai pengajaran yang baik sepanjang zaman.
Sahabatku, kehadiran Rasulullah S.A.W adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia lewat segala hal yang baginda contohkan kepada umat manusia. Rasulullah S.A.W tidak bersikap pilih kasih dalam hal menghargai manusia, penuh kasih sayang, tidak pernah berdendam, malah baginda pernah menangis ketika mengetahui balasan kekafiran adalah neraka yang menyala-nyala.
Sirah Rasulullah S.A.W banyak menceritan kesedihan baginda dalam memikir maslahah umat baginda di hari qiamat kelak. Di saat kewafatan Rasulullah S.A.W amat sedih untuk meninggalkan umatnya ketika Rasulullah S.A.W berusia 63 tahun. Kerana itulah baginda menyebut berkali-kali perkataan “ummati”, “ummati”, “ummati” . Cukup kiranya beliau yang jadi “Qudwatun Hasanah” untuk kita umat Islam hari ini yang jauh tersasar daripada akhlak Rasulullah S.A.W, baik dalam tindakan mahupun perkataan yang menyenangkan. Apa yang dikatakan oleh seorang sastrawan Pakistan, Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya dapat kita jadikan renungan bersama dimana beliau berkata: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti baginda (Nabi Muhammad S.A.W )”.
Dalam salah satu hadith diriwayatkan bahawa: “Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah Muhammad S.A.W) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari). Kita tidak tahu apakah nanti akan diakui Rasulullah S.A.W sebagai umatnya atau tidak kelak di hari kiamat. Namun satu yang pasti bahawa semua ingin berada di barisan baginda. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha untuk mengikuti akhlak baginda S.A.W semampu diri kita, sebagai ikon kita yang utama, memperbanyak ucapan selawat untuknya, membela sunnahnya, bukan membelakanginya (mari berlindung dari hal demikian), sebagai rasa cinta kita terhadapnya.
Sabda Nabi S.A.W : “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak 100 kali, dan barangsiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya sebanyak 1000 kali, dan barangsiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 1000 kali, maka Allah SWT menjanjikannya kelepasan dari seksaan api neraka.”
Sahabatku, tidak ada insan lain yang menjadi ikon mahupun Qudwah Hasanah yang melebihi apa yang ada pada diri Rasulullah S.A.W itu sendiri dan tidak sepatut bagi umat Rasulullah S.A.W di akhir zaman ini tahap kecintaan mereka lebih yang tinggi serta menjadikan kebanyakan artis sebagai ikon hidup mereka. Justeru itu, marilah kita memperbanyakan salam dan selawat kepada baginda junjungan besar S.A.W sebagai tanda rasa kasih sayang kita yang tidak terhingga yang mana dengannya kita akan beroleh Syafa’at darinya sebagai pertolongan untuk memudahkan kita ke syurga kelak di padang perhimpunan seluruh umat manusia iaitu Al-mahsyar. InsyaAllah…Amiin. Itulah ulang tahun yang kita sambut pada hari 12 rabiul Awal lahirnya Kekasih Allah Pembawa Rahmat ke Seluruh alam.
Rabiul Awal bererti Awal Musim Bunga.Kedatangan dan kelahiran Rasullulah saw pada Bulan Rabiul Awal menjadi contoh Akhlak yang mulia dan Akhlak yang Agung adalah umpama Bunga yang Cantik dan Indah diawal musim Bunga..
~kelahiran Nabi Muhammad Saw membawa Cahaya yang menerangi umat akhir zaman,marilah kita memperbanyakkan selawat dan salam keatasnya.~
Allahumma sholli ‘alaa sayyidina Muhammad, wa ‘alaa aalihi wa shohbihi ajma’iin…
0 comments:
Post a Comment