Friday, June 21, 2013
Allah Tidak Pernah Jauh - Berdosa.. Bukan Alasan Menjauhi-Nya ( Part 1 )
9:06 PM
Insaniah Club Members
No comments
Assalamualaikum.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Semua manusia pernah berdosa. Pendosa yang baik adalah yang bertaubat setelah berdosa. Berfikir tentang dosa, tiada siapa yang mahu menambahkan kredit akaun dosa. Tiada siapa yang mahu hidup dalam kesesakan dosa.
Tapi kita sentiasa hidup dalam lautan dosa dek perbuatan sendiri. Benar, semua orang melakukan salah dan silap yang mengundang dosa besar mahu pun kecil. Tapi, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita membiarkan diri hanyut dalam lautan dosa.
Bila kita melakukan salah dan silap, biasanya kita akan mengelak daripada bertembung dengan kesan perbuatan tersebut. Tapi sebenarnya, bolehkah kita berpaling daripada Allah SWT apabila sering berdosa?
Kalau berpaling daripada DIA, kepada siapa mohon diampunkan dosa?
Kita Berdosa.. Bukti Kekerdilan Diri
Melalui kehidupan sehari-hari, melakukan kesilapan itu sebahagian fitrah diri manusia. Tiada siapa yang tidak pernah melakukannya. Kita semua termasuk golongan orang yang melakukan dosa. Dosa itu pula ada dosa pada diri sendiri, dosa kepada orang lain dan dosa terhadap Allah SWT. Apabila menzalimi diri sendiri, perasaan bersalah itu akan terbit. Mungkin juga timbul satu perjanjian dengan diri sendiri bahawa kita tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.
Begitu juga dengan manusia lain. Rasa bersalah itu pasti ada. Adakalanya ia menghantui diri. Kadangkala juga kerana ego yang tinggi, perasaan bersalah terhadap orang lain akan ditenggelamkan dengan ungkapan, "alah, biarlah."
Kata hati menjadi saksi tentang dosa yang ada pada diri. Pada saat kita melakukan perkara salah, kata hati akan menyalahkan diri, menuduh dan menghukum dengan rasa bersalah. Tetapi kerana keegoan yang berjaya meninggi, maka perasaan bersalah itu diketepikan dan dibiarkan berlalu. Kalau boleh, berusahalah untuk mengelak daripada memikirkan perkara tersebut.
Tapi, bagaimana dosa kita dengan Allah SWT?
Apabila terbuat salah pada seseorang, akibat dirundung perasaan bersalah lalu meminta maaf, tingkah laku kita apabila berhadapan dengannya tidak akan sama seperti sebelumnya. Sebolehnya, kita akan mengelak dan mengelak. Oh, itu normal.
Tetapi dengan Allah, kita tidak akan sesekali dapat berbuat demikian. Mungkin jasad mengelak daripada bertemu denganNya, (yakni enggan solat, tidak menghadiri majlis ilmu atau menjauhi alim agama) . Hakikatnya, hati yang diciptakan suci secara fitrah itu akan menerbitkan perasaan bersalah yang mengecam jiwa.
Apabila tidak menghiraukannya, percayalah kehidupan kita tidak akan pernah tenang walaupun secara zahir penuh dengan kebahagiaaan.
Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) , padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya - An-Naml : 14
Kalau kita berbuat demikian, adakah Allah SWT yang rugi?
TIDAK ! TIDAK SAMA SEKALI !
DIA yang menciptakan kita. DIA tidak akan rugi atau berkehendak pun kepada kita jika kita berpaling daripadaNya. Sebaliknya, kita yang sangat-sangat bergantung dan memerlukan DIA dalam hidup.
Firman Allah SWT :
Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, DIAlah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. - Fathir : 15
0 comments:
Post a Comment