"Sungguh melayu pantang dicabar. Pantang lagi bila dikutuk dikeji."
Siapa tidak akan benci apabila diberi gelaran yang kita tidak suka.
Macam-macam gelaran yang kita 'terima'. Hodoh, muka buruk, pemalas, sombong,
dengki, lembab, kuat merajuk, katak, penguin, tikus, pendek, gemuk, boroi dan
pelbagai lagi. Tapi boleh lagi kita beri toleransi untuk sebahagian perkataan
tadi, mungkin atas sebab 'menghampiri' sifat yang ada pada diri, walaupun tidak
semua yang bersifat terbuka. Saya tekankan perkataan "sebahagian",
biar jelas.
Bagaimana pula jika 'sifat' yang terpalit pada kita itu adalah kerana satu
kegagalan yang kita hadapi? Walaupun mungkin ianya menepati diri kita sendiri,
sekali dua mungkin kita boleh terima. Tapi jika sehingga berabad lama panggilan
itu ditujukan kepada empunya diri, pasti akan menyentuh hati kecil kita. Benci!
"Woi, budak gagal"
"Ek eleh, dapat E, ko tengok aku, A siot"
"Dah terhantuk baru nak tergadah, baru padan muka kau"
Pantang sungguh bila diri digelar 'si gagal' oleh orang lain. Mau tidaknya,
bukan hari-hari kita gagal. Entah-entah untuk isu itu hanya sekali sahaja kita
rasai. Jadi, buat apa perlu saya hairankan kalau mendapat sekali dua kegagalan
dalam mata pelajaran sebagai contoh. Adakah ianya merangkumi kegagalan diri
saya sendiri dalam seluruh kehidupan?
Jadikan Kegagalan Sebagai Peransang
Jika setiap kegagalan yang kita rasai dan cuba memperbesarkan cerita
mengenainya, akan banyak perkara yang tidak akan dapat kita kuasai. Cuba
kita analogikan dengan situasi ini;
Hanya sebab gagal membuka pintu dengan satu kunci, kita terus kecewa
dan tidak mahu keluar/masuk rumah.
Hanya kerana internet down kita terus berhenti melayari internet selamanya
(ye ke?!) atau;
Satu petikan dalam journal kita tidak fahami, kita terus tutup buku dan
tidak mahu mengulangkaji lagi.
Bukankah ianya merugikan kita. Hanya kerana gagal satu perkara kita terus
menamatkan percubaan kita. Kita biarkan kegagalan menguasai diri kita. Atau
hanya kerana emosi kita manjakan, kita berubah ke tahap yang lebih merugikan.
Umpama kita menjadi begitu emosi hanya kerana zip baju tersangkut,
sehingga terus tidak ingin lagi memakai baju untuk selama-lamanya?
Zip baju tersangkut pun satu kegagalan jugakan? Kegagalan kita untuk
teruskan usaha membetulkan kesilapan, jika ianya dibiarkan terus gagal. Kalau
semua hal ini kita gagal laksanakan dengan baik (tak semestinya sempurna), maka
hidup kita gagal. Adakah ini suatu konklusi dalam hidup seorang manusia yang
normal? Justeru, jadikan kegagalan itu sebagai peransang diri kita untuk
menjadi lebih baik lagi.
Kuasai Kegagalan Dengan Tindakan
Ingat filem 'Pendekar Bujang Lapok' babak baca mantera yang merepek tu?
Cobaan...
Tolak tepilah sketsa khurafat 'mantera mambang' yang disebut itu. Apa yang
baik dalam babak itu sekadar ingin mengaitkan dengan cubaan yang kita hadapi
semata-mata. Jika kita asyik mengungkapkan 'ini dugaan, ini cubaan, ini bala
yang menimpa' tanpa ada usaha selepas itu, maka kita akan ulangi 'Cubaan' yang
sama hingga selesai. Bukankah apa yang kita ungkapkan itu juga suatu doa?
Kuasailah kegagalan yang kita hadapi dengan tindakan yang positif. Bukan
hanya meluahkan apa yang berlaku hanya semata-mata ingin menyedapkan hati dan
diri sendiri. Tidak salah menyenangkan atau memujuk diri asbab kegagalan yang
ada, namun yang menjadi silapnya apabila diri hanya sekadar banyak 'berkata'
tetapi kurang 'tindakannya'
Ingatlah, diri kita tidak akan berubah hanya dengan perkataan, tetapi
perubahan itu akan berlaku hanya dengan tindakan. (Hakikatnya segalanya dari
Allah)
Jangan salahkan semuanya pada takdir, kerana kita seolah-olah mencabar kuasa
Allah SWT.
Kita lupa ayat Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3
(Surah Muhammad ayat 1-31)
Zaman sekolah saya dulu, saya selalu dengar lagu "Jika Kau Fikir Kau Boleh" berkumandang di televisyen dan radio. Seronok sebab zaman itu, Dr Mahathir terapkan cogan kata 'Malaysia Boleh' dan impaknya pada suasana sekitaran saya cukup jelas. Di sebalik putaran lagu ini, Malaysia dapat bina Bangunan Kembar Petronas, Sukan Komenwel, Inflasi Sifar, daki Gunung Everest dan lain-lain.
Pada saya layak beliau digelar Bapa Pemodenan atas usaha beliau mengubah pemikiran Rakyat Malaysia pada ketika itu. Bila ada saja kegagalan di sekolah, mesti ada kawan yang akan nyanyikan pada saya lagu ini. Sedikit pun tidak ada rasa berlagak memanjang atas pencapaian yang mereka dapat.
Demikianlah diri kita sendiri, jika kegagalan yang kita perolehi, jadilah diri sendiri. Maksud jadilah diri sendiri adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Jika kita merasakan diri kita gagal buat selama-lamanya maka kita akan berada di tempat itu buat masa yang lama. Namun, sekiranya kita juga mampu menjadi seperti rakan-rakan kita yang berjaya, berfikir bahawa kita juga boleh seperti mereka maka kita akan berubah dari setapak ke setapak yang membanggakan tanpa kita menyedarinya.
Ya, kita mampu berubah dan berjaya seperti orang lain. Jadilah diri anda sendiri yang mana anda sendiri yang menentukan diri anda sendiri. Runtuhkan tempoh "Tidak Boleh" dan binalah keyakinan bahawa anda juga mampu untuk berjaya.
Biar sembilan kali jatuh, kita tetap akan berdiri untuk kali yang ke sepuluh. Jika anda labelkan diri anda gagal, maka label itu kekal milik anda sedangkan orang lain tidak akan tahu anda pernah gagal biar berkali-kali pun, asalkan anda terus berdiri dan maju kehadapan. Ingatlah, dengan melabelkan diri anda gagal, maka selagimana anda masih mengenang kembali memori lampau, selamai itu 'Kegagalan' akan terus menghantui anda.
Mungkin anda berfikir sepertimana ungkapan ini 'barang yang lepas jangan dikenang'. Tidak salah untuk merenung kegagalan semalam, namun selidik dan renungkan kegagalan untuk perbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Hilangkan punca yang memungkinkan kitaran itu berulang untuk kali yang seterusnya. Untuk setiap kali gagal, kita akan tahu cara yang betul untuk laksanakan sesuatu. Jadi apa yang ruginya jika dapat ketahui cara terbaik untuk diri kita sendiri?
Fikir kembali apa peluang yang telah Allah berikan pada kita. Allah membuka luas jalan untuk kita berjaya. Hanya kita sahaja ingin melaluinya atau sebaliknya.
(Surah Ali Imran ayat 159)
Betul ke apa yang aku buat sekarang ini?
Sebagai manusia biasa, kita tak berkuasa untuk tentukan apa yang akan berlaku pada diri. Itu semua ketentuan Allah SWT. Apa yang mampu kita buat hanyalah berusaha sebaik mungkin kerana Allah yang Sebaik-baik Perancang.
(Surah Ali Imran ayat 54)
1 comments:
setuju..
kegagalan bukan penamat.. tapi permulaan kepada kejayaan
=)
Post a Comment