Tuesday, December 18, 2012

Sedarlah Ketika Masih Diberi Waktu


Sabda rasulullah s.a.w : "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)
Pernahkah kita terfikir,apabila melihat dunia ini? Dunia yang indah,yang diciptakan oleh Allah kini tercemar dengan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia?
Pernahkah kita terfikir akan dosa-dosa yang pernah kita lakukan? Pernahkah kita berasa malu dengan Allah terhadap maksiat-maksiat yang kita lakukan sepanjang hidup kita? Kita diberi rezeki di dunia ini, tapi adakah kita mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya?
Cuba kita fikir, kalaulah kita mati sekarang, layakkah kita ke syurga? Kita patut bersyukur kerana masih lagi hidup di dunia ini dan masih dapat bertaubat dan beribadat kepada-Nya. Jadi, gunakanlah masa sebaik-baiknya, hidup di dunia hanya sementara, carilah pahala untuk akhirat nanti. Kita sekarang berada di dunia akhir zaman.
Selepas kedatangan Dajjal, dunia ini tidak lagi penuh dengan kemaksiatan. Hanya tinggal orang soleh dan benar-benar bertakwa kepada Allah sahaja. Jadi,fikir-fikirkanlah, adakah kita ini sebahagian daripada mereka?
Jika difikirkan kembali, alangkah baiknya kalau kita ini buta, pekak dan bisu. Kenapa?
Sesungguhnya orang-orang ini diberi kelebihan atau keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.
Orang yang buta tidak akan dapat berzina melalui mata kerana dia tidak akan nampak aurat-aurat yang didedahkan oleh orang-orang yang tidak menjaga auratnya.
Orang yang pekak  dapat mengelakkan diri daripada zina telinga dan terjaga daripada  mendengar perkara-perkara yang tidak baik.
Orang yang bisu dapat  mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah,mengumpat,berzina melalui perkataan dan sebagainya.
Tapi, kita seharusnya bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita pada hari ini, kerana kita dapat melihat dunia ciptaan Allah s.w.t yang indah ini.
Kita masih lagi dapat mendengar zikirullah, azan yang berkumandang dan sebagainya. Kita juga masih lagi dapat bercakap untuk menyebarkan dakwah serta membaca Al-Quran.
Jadi, butakanlah mata kita daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan zina atau dosa, bisukanlah suara kita daripada menyebarkan fitnah dan perkara-perkara yang tidak baik dilafazkan. Sesungguhnya orang yang menyebarkan fitnah seperti meratah daging saudara sendiri.
Pekakkanlah telinga kita daripada mendengar perkara-perkara yang tiada faedahnya dan dengarlah sesuatu yang mendatankan kecintaan  kita kepada pencipta kita, Allah s.w.t.
Lakukanlah perkara-perkara yang memantapkan lagi iman kita.
Carilah "harta" iaitu pahala yang boleh dibawa ke akhirat. Jauhilah dosa dan maksiat.
Berdoalah kepada Allah s.w.t yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui akan setiap pekara di atas dunia ini. Bertaubatlah selagi kita masih diberi waktu oleh Allah. Carilah cinta Allah s.w.t, satu-satunya cinta abadi yang tiada penipuan, kecewaan dan kekal.

WANITA : Jangan Gantikan Nikmat Allah Dengan Kekufuran


Wanita menurut pelbagai agama dan bangsa:
1. YUNANI
Kedudukan wanita pada masa ini hanyalah sebagai budak suruhan dan pelayan. Wanita bebas dalam arus syahwat dan nafsu hewani dengan menjadi pelacur. Akhirnya mereka mendapat tempat yang tinggi dan mulia di mana dibuat dongeng menjadi 'Dewa Cinta.' Mereka memandang rendah pada hubungan suami isteri hingga mereka bebas memilih lelaki yang ingin digaulinya secara terang-terangan tanpa perkahwinan.
2. ROMAWI
Lelaki mempunyai hak sepenuhnya terhadap isterinya hingga tahap berhak membunuh isterinya sendiri. Akhirnya para wanita pada zaman ini berani menyeret lelaki ke dalam arus perbuatan keji dan dosa. Mereka memandang baik tentang novel-novel porno. Urusan cerai menjadi sesuatu yang mudah hingga wanita zaman ini pernah menikah dengan lelaki sebanyak bilangan umurnya tanpa rasa beban dan malu.    
3. PARSI
Undang-undang pada masa ini menzalimi hak wanita dan menimpakan hukuman yang berat walaupun kesalahannya ringan. Hukumannya berbentuk sembelihan yang sangat kejam. Perempuan yang haid akan diusir dari tempatnya jauh dari kota dan tidak dibenarkan berhubungan dengan mereka. Lelaki pula bebas dengan hawa nafsunya dan dianggap raja semata-mata kerana dia seorang lelaki.
4. CINA
Masayarakat Cina dahulunya hidup dalam kerosakan dan kebinatangan. Mereka berzina tanpa rasa malu, sehingga banyak anak-anak yang dilahirkan tanpa diketahui siapa bapanya. Kaum wanita hanya menunggu perintah tanpa menolak . Anak perempuan tidak dapat mewarisi harta bapanya walaupun sedikit. Wanita dianggap racun yang merosak kebahagian dan harta keluarga.
5. INDIA
Wanita dianggap sebagai budak suruhan bagi ayah,suami dan anak-anaknya. Wanita dianggap sumber kesalahan dan penyebab kemunduran akhlak dan mental. Wanita diharamkan dalam hak-hak pemerintahan dan warisan. Wanitanya tidak diberi hak hidup setelah suaminya mati sehingga dia harus mati dihari kematian suaminya dan dibakar hidup-hidup dalam satu tempat pembakaran.
6.YAHUDI
Wanita pada masa ini makhluk yang rendah dan hina ibarat barang tak berharga yang dapat dibeli di pasar-pasar. Mereka menuduh wanitalah salah satu pintu jahannam dan membawa kepada dosa. Mereka beranggapan wanita laknat kerana telah menggoda Adam. Wanita dalam haid dianggap najis dan dilarang memasuki rumah. Wanita disetubuhi sebagai satu upacara ibadah yang suci dan zina dianggap sebagai bentuk taqarrub diri kepada tuhan mereka.
7. NASRANI
Menganggap wanita sebagai biang kemaksiatan,akar kejahatan dan dosa, mala petaka bagi keluarga dan rumahtangga serta membawa musibah. Bersetubuh dengan wanita adalah najis walaupun telah bernikah sehingga memandang bahawa hidup sebagai biarawati ( tidak kahwin) adalah tanda luhirnya akhlak seseorang. Cerai tidak dibenarkan dalam agama mereka sekalipun sudah sampai tahap saling membenci dan berjauhan antara suami isteri. Maka terjadilah peluang saling mengkhianati antara suami isteri tersebut.
8. ARAB JAHILIYYAH
Lelaki boleh menyerahkan isterinya kepada orang lain. Sekumpulan lelaki boleh menggauli seorang perempuan.Semua ini bertujuan semata-mata untuk mendapatkan anak berketurunan bangsawan. Marah dan kecewa jika mendapat anak perempuan seakan-akan ditimpa musibah maka anak tersebut akan dikuburkan hidup-hidup. Ini bertujuan untuk menjaga kehormatan dan takut mendapat aib kerana mereka adalah ahli tempur dan perang. Mereka akan mendapai aib dan hina jika menyerahkan anak-anak perempuan mereka untuk menebus tawanan perang
9. ISLAM
Siapa tidak pernah mendengar kisah Saidatina Khadijah, sayyidah wanita sedunia pada zamannya. Saidatina Aisyah isteri dan penghulu anak-anak Adam, guru bagi kaum lelaki. Hafshah, wanita penjaga Al-Quran.Ummu Salamah, mujahidah pertama memasuki Madinah. Zainab Binti Jahsy, Ummahatul Mukminin termulia dalam hal wali. Zainab Al-Kubra penebus suaminya. Fatimah Az-Zahra, Ummul Mukminin dan sayyidah wanita seluruh alam pada zamannya.
KESIMPULAN
Istimewanya kau wanita dalam agamamu. Kita tidak akan kenal nama-nama wanita terkenal di atas dalam mana-mana lipatan sejarah sekalipun kecuali dalam sirah Islam. Wanita yang mendapat gelaran dan darjat di sisi agama dan umat Islam. Berikan agama manapun, takkan kita ketemu wanita mulia kecuali dalam Islam.

Wednesday, October 31, 2012

Kegagalan Bukan Penamat

"Sungguh melayu pantang dicabar. Pantang lagi bila dikutuk dikeji."

Siapa tidak akan benci apabila diberi gelaran yang kita tidak suka. Macam-macam gelaran yang  kita 'terima'. Hodoh, muka buruk, pemalas, sombong, dengki, lembab, kuat merajuk, katak, penguin, tikus, pendek, gemuk, boroi dan pelbagai lagi. Tapi boleh lagi kita beri toleransi untuk sebahagian perkataan tadi, mungkin atas sebab 'menghampiri' sifat yang ada pada diri, walaupun tidak semua yang bersifat terbuka. Saya tekankan perkataan "sebahagian", biar jelas.

Bagaimana pula jika 'sifat' yang terpalit pada kita itu adalah kerana satu kegagalan yang kita hadapi? Walaupun mungkin ianya menepati diri kita sendiri, sekali dua mungkin kita boleh terima. Tapi jika sehingga berabad lama panggilan itu ditujukan kepada empunya diri, pasti akan menyentuh hati kecil kita. Benci!

"Woi, budak gagal"

"Ek eleh, dapat E, ko tengok aku, A siot"

"Dah terhantuk baru nak tergadah, baru padan muka kau"

Pantang sungguh bila diri digelar 'si gagal' oleh orang lain. Mau tidaknya, bukan hari-hari kita gagal. Entah-entah untuk isu itu hanya sekali sahaja kita rasai. Jadi, buat apa perlu saya hairankan kalau mendapat sekali dua kegagalan dalam mata pelajaran sebagai contoh. Adakah ianya merangkumi kegagalan diri saya sendiri dalam seluruh kehidupan?

Jadikan Kegagalan Sebagai Peransang 

Jika setiap kegagalan yang kita rasai dan cuba memperbesarkan cerita mengenainya, akan banyak perkara yang tidak akan dapat kita kuasai.  Cuba kita analogikan dengan situasi ini;

Hanya sebab gagal membuka pintu dengan satu kunci, kita  terus kecewa dan tidak mahu keluar/masuk rumah.

Hanya kerana internet down kita terus berhenti melayari internet selamanya  (ye ke?!) atau;

Satu petikan dalam journal kita tidak fahami, kita terus tutup buku dan tidak mahu mengulangkaji lagi.

Bukankah ianya merugikan kita. Hanya kerana gagal satu perkara kita terus menamatkan percubaan kita. Kita biarkan kegagalan menguasai diri kita. Atau hanya kerana emosi kita manjakan, kita berubah ke tahap yang lebih merugikan. Umpama kita menjadi begitu emosi hanya kerana zip baju tersangkut, sehingga terus tidak ingin lagi memakai baju untuk selama-lamanya?

Zip baju tersangkut pun satu kegagalan jugakan? Kegagalan kita untuk teruskan usaha membetulkan kesilapan, jika ianya dibiarkan terus gagal. Kalau semua hal ini kita gagal laksanakan dengan baik (tak semestinya sempurna), maka hidup kita gagal. Adakah ini suatu konklusi dalam hidup seorang manusia yang normal? Justeru, jadikan kegagalan itu sebagai peransang diri kita untuk menjadi lebih baik lagi.

Kuasai Kegagalan Dengan Tindakan

Ingat filem 'Pendekar Bujang Lapok' babak baca mantera yang merepek tu? Cobaan...

Tolak tepilah sketsa khurafat 'mantera mambang' yang disebut itu. Apa yang baik dalam babak itu sekadar ingin mengaitkan dengan cubaan yang kita hadapi semata-mata. Jika kita asyik mengungkapkan 'ini dugaan, ini cubaan, ini bala yang menimpa' tanpa ada usaha selepas itu, maka kita akan ulangi 'Cubaan' yang sama hingga selesai. Bukankah apa yang kita ungkapkan itu juga suatu doa?

Kuasailah kegagalan yang kita hadapi dengan tindakan yang positif. Bukan hanya meluahkan apa yang berlaku hanya semata-mata ingin menyedapkan hati dan diri sendiri. Tidak salah menyenangkan atau memujuk diri asbab kegagalan yang ada, namun yang menjadi silapnya apabila diri hanya sekadar banyak 'berkata' tetapi kurang 'tindakannya'

Ingatlah, diri kita tidak akan berubah hanya dengan perkataan, tetapi perubahan itu akan berlaku hanya dengan tindakan. (Hakikatnya segalanya dari Allah)
Jangan salahkan semuanya pada takdir, kerana kita seolah-olah mencabar kuasa Allah SWT.

Kita lupa ayat Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Semakin tinggi darjat dugaan yang menimpanya, dan kemudian kita bersabar, nescaya dalam keadaan 'kemurungan' yang dia hadapai ketika itu, Allah angkat darjatnya menghampiri Diri-Nya Yang Maha Agung atas sifat sabar yang ditunjukkan.

"Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."
(Surah Muhammad ayat 1-31)

"Jadilah Diri Sendiri"

Zaman sekolah saya dulu, saya selalu dengar lagu "Jika Kau Fikir Kau Boleh" berkumandang di televisyen dan radio. Seronok sebab zaman itu, Dr Mahathir terapkan cogan kata 'Malaysia Boleh' dan impaknya pada suasana sekitaran saya cukup jelas. Di sebalik putaran lagu ini, Malaysia dapat bina Bangunan Kembar Petronas, Sukan Komenwel, Inflasi Sifar, daki Gunung Everest dan lain-lain.

Pada saya layak beliau digelar Bapa Pemodenan atas usaha beliau mengubah pemikiran Rakyat Malaysia pada ketika itu. Bila ada saja kegagalan di sekolah, mesti ada kawan yang akan nyanyikan pada saya lagu ini. Sedikit pun tidak ada rasa berlagak memanjang atas pencapaian yang mereka dapat.

Demikianlah diri kita sendiri, jika kegagalan yang kita perolehi, jadilah diri sendiri. Maksud jadilah diri sendiri adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Jika kita merasakan diri kita gagal buat selama-lamanya maka kita akan berada di tempat itu buat masa yang lama. Namun, sekiranya kita juga mampu menjadi seperti rakan-rakan kita yang berjaya, berfikir bahawa kita juga boleh seperti mereka maka kita akan berubah dari setapak ke setapak yang membanggakan tanpa kita menyedarinya.

Ya, kita mampu berubah dan berjaya seperti orang lain. Jadilah diri anda sendiri yang mana anda sendiri yang menentukan diri anda sendiri. Runtuhkan tempoh "Tidak Boleh" dan binalah keyakinan bahawa anda juga mampu untuk berjaya.



 
Jatuh Bangun Semula 

Biar sembilan kali jatuh, kita tetap akan berdiri untuk kali yang ke sepuluh. Jika anda labelkan diri anda gagal, maka label itu kekal milik anda sedangkan orang lain tidak akan tahu anda pernah gagal biar berkali-kali pun, asalkan anda terus berdiri dan maju kehadapan. Ingatlah, dengan melabelkan diri anda gagal, maka selagimana anda masih mengenang kembali memori lampau, selamai itu 'Kegagalan' akan terus menghantui anda.

Mungkin anda berfikir sepertimana ungkapan ini  'barang yang lepas jangan dikenang'. Tidak salah untuk merenung kegagalan semalam, namun selidik dan renungkan kegagalan untuk perbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Hilangkan punca yang memungkinkan kitaran itu berulang untuk kali yang seterusnya. Untuk setiap kali gagal, kita akan tahu cara yang betul untuk laksanakan sesuatu. Jadi apa yang ruginya jika dapat ketahui cara terbaik untuk diri kita sendiri?

Fikir kembali apa peluang yang telah Allah berikan pada kita. Allah membuka luas jalan untuk kita berjaya. Hanya kita sahaja ingin melaluinya atau sebaliknya.

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."
(Surah Ali Imran ayat 159)

Buang sifat prasangka dalam diri bahawa kegagalan itu punca dari orang lain. Salahkan diri sendiri sebabnya, kita lebih tahu tentang diri kita, kekuatan kita, kelemahan kita. 24 jam sehari 7 hari seminggu dengan diri sendiri, jangankan sebab kentut sendiri busuk kita salahkan orang lain.

Betul ke apa yang aku buat sekarang ini?

Sebagai manusia biasa, kita tak berkuasa untuk tentukan apa yang akan berlaku pada diri. Itu semua ketentuan Allah SWT. Apa yang mampu kita buat hanyalah berusaha sebaik mungkin kerana Allah yang Sebaik-baik Perancang.

"Dan orang-orang itupun merancangkan dan Allah jua merancang dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang Perancang."
(Surah Ali Imran ayat 54)
-kredit kepada iluvislam.com-

Monday, August 6, 2012

Salam Nuzul Al-Quran


Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaiman kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul A-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke 41 dari keputeraan Nabi Muhammad SAW. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al- Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya member makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran sering di cantumkan dengan rangkaian kata ‘al-quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-quran yang mempunyai mukjizat’.

Firman Allah : ‘’ Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini ; kemudian mereka semuanya akan di himpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)..’’ (Al-An’am:38)

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya :

‘’Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk).Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya....‘’

(Al-‘Alaq : 1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramdan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar ialah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitangnnya malam al-Qadar dengan Nuzul Al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT :

‘’Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu turun malakat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!....

‘’ (Al-Qadar : 1-5)

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

‘’ Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan..’’

Jadi, marilah kita sama-sama mengambil manfaat dan keberkatan di bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita akan mendapat keberkatan dan ganjaran serta akan terdidik menjadi muslim bertaqwa.

Tuesday, July 31, 2012

Sebaik-baik Pemimpin : Sultan Muhammad Al-Fateh



"Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh sudah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexender The Great!" - Ahli Sejarah Byzantine.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :

"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan." (Hadis riwayat Ahmad bin Hambal)




......

Selepas lebih 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan.

......

Akhirnya pada 20 Jamadil Awal tahun 857 Hijrah bersamaan 29hb Mei 1435 Masihi barulah kota Konstantinopel berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, pada usia baginda 21 tahun.

......

30hb Mei 1453 - Suasana pagi itu sungguh syahdu. Tentera Islam melaungkan takbir dan tahmid sebagai tanda syukur dan gembira kerana berjaya menawan kota Konstantinopel. Selepas berlaku pertempuran selama 53 hari dan selepas ramai yang syahid, akhirnya hadis Nabi Muhammad SAW itu menjadi kenyataan.





Apabila tiba hari Jumaat, mereka bersedia hendak mengerjakan solat Jumaat. Timbul pertanyaan siapakah yang paling layak menjadi imam. Sultan Muhammad Al-Fateh mencadangkan gurunya Sheikh Syamsudin Al-Wali tetapi dia menolak secara baik dengan alasan dia sudah tua.


“Carilah orang yang lebih bertaqwa antara kamu bagi dijadikan imam,
kata Sheikh Syamsudin Al-Wali mencadangkan.

Sultan Muhammad Al-Fateh keluar ke kawasan lapang di depan masjid itu. Kemudian baginda menyuruh semua tenteranya berdiri lalu berkata, “Siapakah di antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, sila duduk!”

Tidak ada seorang pun yang duduk menandakan kesemua tentera Sultan Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu.

Kemudian Sultan Muhammad Al-Fateh berseru lagi, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk”.

Separuh antara tenteranya duduk. Kemudian Sultan Muhammad Al-Fateh bertanya lagi, “Siapakah di antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajud, sila duduk!”.

Semua yang berdiri duduk kecuali seorang. Dia adalah Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Semenjak dari akil baligh, baginda tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajud.


"Tuanku yang paling layak menjadi imam," kata Sheikh Syamsudin al-Wali.

Monday, July 30, 2012

Pembunuhan Umat Islam Rohingya, Myanmar

Pembunuhan kejam berlaku di negara Myanmmar.
Umat Islam bukan saja ditindas dan dibunuh kejam oleh penduduk tempatan malah turut dibantu oleh pihak berkuasa

Seorang pemuda beragama Buddha berjalan pulang selepas selesai menjalankan misi.
Membakar rumah dan perkampungan orang Islam di Burma dalam proses penghapusan etnik Muslim di sana.

YANGON (Myanmar): “Saya bukan cakap kosong, tapi ada bukti. Penduduk etnik Rakhine kini bermaharajalela menyerang dan membunuh orang Islam Rohingya di Arakan, tetapi malangnya perkara ini tidak diketahui masyarakat luar kerana pihak berkuasa bijak menyorokkan maklumat sebenar.

“Malah, anggota pasukan keselamatan turut membantu puak Rakhine menindas penduduk Rohingya.
Perkara ini bukan lagi rahsia kerana semua orang Islam di Myanmar tahu, namun kami dihalang memberi bantuan,” kata aktivis Islam yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ahmad yang ibu bapa dan adik-beradiknya masih di Arakan berkata, dia sentiasa memantau perkembangan di negeri kelahirannya itu selain berhubung dengan beberapa individu di sana untuk mendapat maklumat terkini.

Menurutnya, setiap individu Muslim tidak wajar berdiam diri tanpa melakukan apa-apa sedangkan ratusan ribu saudara seagama menderita akibat tekanan puak Rakhine yang dibantu pasukan seragam kerajaan di Arakan.


Beliau mendakwa pada masa ini ada kira-kira 115,000 orang umat Islam Rohingya tinggal di lima khemah penempatan sementara di beberapa kawasan iaitu di Thet Khapyin yang menempatkan 40,000 orang, Da Bai Thaecheung (25,000), Bumay (10,000), Budu Pa (20,000) dan Sampya Barat (20,000).

Beberapa etnik Rohingya yang menetap di Malaysia mengadakan protes di Kuala Lumpur, membantah pembunuhan yang berlaku antara etnik itu dan Rakhine di Myanmar, 12 Jun 2012.

Sabda Rasulullah s.a.w : “Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan,keperluan,kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya”.

Sama-samalah kita membuka mata akan masalah saudara se-Islam kita disana yang jauh berbeza dengan kehidupan kita disini.
Sekiranya tidak mampu, doakanlah kesejahteraan dan keamanan mereka.
Sesungguhnya kita ini saudara seagama.
wallahu'alam.

'' Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa..''
(Hadis riwayat Tirmizi)


Sunday, July 29, 2012

Kesilapan Kerap Dalam Bulan Ramadhan


1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya."sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu"
(Riwayat al-Bukhari)

2. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur"dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristighfar dan menunaikan solat malam.
" dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : '' Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat".

7. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9. Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah dengan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Hukum Berpuasa Tetapi Tidak Solat


Amalan puasa orang yang tidak solat tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana ramai hari ini yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat.

" Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama."
(Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Umar)

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85% mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana merasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan. Sedangkan nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaannya solat mereka.

Untuk melihat ibadah lain, Allah akan melihat solat dahulu. Jika tidak solat, maka ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beria-ria berpuasa tetapi tidak solat. Puasa yang hanya menahan lapar dan dahaga sahaja.

Katanya, soalan berkaitan berpuasa tetapi tidak solat sering diajukan selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa. Antaranya, adakah mengorek telinga membatalkan puasa?
Orang Islam Kian Jahil

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama dan puncanya ialah sikap ambil mudah selain malas dalam meningkatkan ilmu pengetahuan terutama ilmu akhirat.

Sepatutnya sebelum kedatangan Ramadan, umat Islam sudah bersedia menelaah bab puasa termasuk perkara membatalkan puasa dan lebih penting, perkara membatalkan pahala puasa seperti digariskan Al-Ghazali dalam kitab tasaufnya.

Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan turun temurun. Bukannya sebagai ibadah yang mempunyai hikmah serta ingin mendapatkan mendapatkan keredaan Allah semata-mata.

Contoh yang boleh dilihat kini ialah jemaah solat tarawih yang jumlahnya ramai pada 10 malam pertama, tetapi kian berkurangan minggu berikutnya dan keadaan bertambah menyedihkan apabila malam-malam terakhir Ramadan.

'' Sesungguhnya solat itu tiang agama, di mana tidak kukuh solat maka tidak kuatlah iman seseorang itu ''

Ingatlah bahawa solat itu mendisiplinkan kita, menjadikan diri lebih baik di samping menghindari perkara mungkar. Jika solat itu terjaga maka terpelihara dan tinggilah nilai kita disisi-NYA. Wallahu'alam..

Tuesday, June 19, 2012

Pilihanraya Presiden Mesir : Dr Muhammad Mursi vs Ahmad Syafiq


K
AHERAH – Keputusan tidak rasmi yang di keluarkan setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah mengundi. Keputusan awal tidak rasmi mendapati Dr Mohamad Morsi mendapat 52.5% undi iaitu lebih 12.7 juta undi manakala calon tajaan bekas rejim Mubarak, Ahmed Syafik mendapat 47% undi dengan 11.3 juta undi dan ketinggalan lebih satu juta undi di belakang Dr. Morsi.



Baru sahaja tamat sidang media yang disampaikan oleh Dr Mohd Morsi. Antara isi ucapan beliau adalah;

- Terima kasih kepada semua rakyat Mesir atas sokongan yang diberikan dan kita akan sama-sama membina masa depan yang lebih gemilang
- Siapa yang menyokong aku dan tidak menyokong, mereka semua adalah rakyat Mesir yang aku cintai
- Ucapan khas kepada para pemuda Mesir demi masa hadapa yang cemerlang
- Ucapan khas kepada keluarga syuhada, di atas bahu aku untuk menunaikan hak mereka
- Kita semua berada dalam satu barisan yang sama. Dan aku menjadi jurukhidmat kepada semua rakyat Mesir
- Kita semua adalah anak watan yang satu
- Kita akan berusaha ke arah Negara Mesir Madani Demokratik berpelembagaan yang baru
- Tiada dendam untuk dilangsaikan kita semua adalah satu watan.



Kemenangan ini juga bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi Kuasa Barat yang selama ini menjadikan rejim Mubarak sebagai alat bagi melindungi Israel dan menjaga kepentingan strategik mereka di Timur Tengah.

Sepanjang kempen pilihanraya Presiden berjalan, kuasa-kuasa besar Barat serta sekutunya Israel telah berusaha keras dengan menjalankan pelbagai propaganda jahat bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka menang dalam pilihan raya ini. Ahmad Syafik telah diberikan pelbagai publisiti besar oleh media yang masih dikuasai oleh saki-baki pro-Mubarak.

Namun kekuatan jentera pilihanraya dari calon Ikhwan Muslimin telah berjaya menyaingi jentera media barat ini dengan banyak menggunakan kempen melalui media baru seperti Twitter dan Facebook. Begitu juga dengan kempen dari rumah ke rumah.

Keputusan rasmi penuh hanya akan diumumkan pada Khamis depan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir.

Semoga keputusan pilihanraya presiden ini kekal sebagai keputusan rasmi agar masa depan rakyat Mesir lebih terjamin bersama kepimpinan gerakan Islam.Sama-samalah kita mendoakan.
Wallahu'alam.

Sunday, June 17, 2012

Peristiwa Isra' Mikraj : 27 Rejab 1433H


1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

*Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

*Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

*Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

*Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

*Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

*Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

*Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

*Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

*Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

*Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

*Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

*Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

*Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S
.
Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH".

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang kebetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

4.Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop