Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaiman kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul A-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke 41 dari keputeraan Nabi Muhammad SAW. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al- Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya member makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran sering di cantumkan dengan rangkaian kata ‘al-quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-quran yang mempunyai mukjizat’.
Firman Allah : ‘’ Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini ; kemudian mereka semuanya akan di himpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)..’’ (Al-An’am:38)
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya :
‘’Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk).Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya....‘’
(Al-‘Alaq : 1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramdan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar ialah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitangnnya malam al-Qadar dengan Nuzul Al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT :
‘’Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu turun malakat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!....
‘’ (Al-Qadar : 1-5)
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
‘’ Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan..’’
Jadi, marilah kita sama-sama mengambil manfaat dan keberkatan di bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita akan mendapat keberkatan dan ganjaran serta akan terdidik menjadi muslim bertaqwa.