Thursday, June 7, 2012

12 Barisan Di Akhirat


Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya:

"Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris"
Surah an-Naba':18

Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab:

"Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...."

Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :

BARISAN PERTAMA

Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:

"Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA

Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:

"Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

"Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT

Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

"Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA

Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

"Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM

Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

"Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH

Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.

"Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN

Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

"Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEMBILAN

Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

"Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH

Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta.

"Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEBELAS

Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

"Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:

"Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya..... Wallahua'alam.

Wednesday, May 16, 2012

SYURGA DESTINASIKU

Kita semua akan pulang kepada Allah. Ya. Itu satu kepastian. Dan semua kita inginkan syurga. Cuma yang berbeza, hanyalah cara kita menuju ke sana. Ada yang bergerak lambat, ada yang cepat, ada yang sangat pantas. Bahkan, ada yang tidak sampai-sampai. Namun, Allah s.w.t. tidak pernah membiarkan hamba-Nya terkapai-kapai dalam perjalanan menuju-Nya. Disebabkan kita ada yang lambat, ada yang cepat, maka Allah motivasikan kita dengan khabar-khabar dari syurga. Supaya apa? Supaya dengan cerita-cerita syurga itu, yang lambat, dapat mempercepatkan langkahannya. Supaya dengan motivasi syurga itu, yang cepat, terus istiqamah di atas jalan yang benar, tidak jatuh dan terhenti di pertengahan dalam perjalanan itu, bahkan membantu yang lambat.

TEMASYA SYURGA, TEMPAT BERSAMA ORANG YANG KITA CINTA

Tidak ada orang yang berjaya masuk syurga ingin hidup keseorangan sunyi dalam syurga. Tiada teman, tiada kawan. Seboleh mungkin, kita ingin hidup di syurga nanti bersama dengan orang-orang yang paling kita cinta sewaktu di dunia dahulu.
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a., ada seorang Arab badwi bertanya kepada Rasul s.a.w.,
'' Bilakah kiamat itu tiba?”
Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?”
Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” [HR Muslim, No. 4775]
Kalau orang yang kita cinta itu adalah ibu ayah kita, maka kita ingin sangat agar dapat bersatu semula bersama ibu ayah kita di syurga nanti.
Kalau orang yang kita cinta itu adalah adik-beradik kita, kita ingin melihat wajah-wajah abang, adik dan kakak yang kita sayangi itu nanti bersama kita di syurga.
Kalau orang yang kita cinta itu adalah sahabat kita, maka kita sungguh tidak sabar-sabar lagi untuk berpimpin tangan bersamanya ke syurga.
Kalau orang yang kita cinta itu adalah isteri kita, maka sangat tinggi harapan kita untuk bersatu semula bersama isteri kita di sana nanti kerana dialah pelengkap kebahagiaan dan ketenangan kita ketika di dunia.
Namun, semua ini hanya akan dapat dicapai bila kita melakukan taqmil wa istiqmal. Apa itu?

LAMBAT DAN CEPAT, LEMAH DAN KUAT, PERLU SALING MELENGKAPI

Taqmil wa istiqmal itu adalah saling melengkapi. Kita ada kelebihan dan ada kelemahan. Orang lain juga sama, ada kelebihan dan kekurangan. Tidak ada yang sempurna, betul semua 100%. Dengan kelemahan yang kita ada itu, ia perlu ditampung dengan kelebihan yang ada pada orang lain. Begitulah juga, kelebihan yang ada pada kita perlu digunakan untuk membantu orang lain. Maka, barulah akan terbentuk satu masyarakat yang kuat.
Kita semua ada kesilapan, ada kesalahan, ada kekurangan. Bila proses taqmil wa istiqmal ini saling dilaksanakan, maka pastinya tidak ada kesilapan yang tidak dibetulkan, pastinya tidak ada kesalahan yang tidak ditegur, dan pastinya tidak ada kekurangan yang tidak diperbaikkan.
Jumpa sahaja dengan saudara kita di jalan-jalan, kita tidak segan-segan untuk bertegur sapa dan bertanya khabar serta melebarkan senyuman. Bila melihat saudara kita melakukan kesilapan, kita tidak hanya memandang dan membiarkan sahaja, tetapi kerana rasa cinta kepada saudara kita, kita menegurnya meskipun kita mungkin dimarahi semula.
Bila melihat saudara kita jauh daripada jalan iman, kita bersegera untuk lebih dekat dengannya, supaya kita mampu membetulkannya semula. Bukan bila dia jauh daripada jalan iman, kita pun menjauhinya.

Ingatkah bagaimana kisah Abu Zar dengan Bilal bin Rabah?
Bila Abu Zar telah mengeluarkan kata-kata tidak elok kepada Bilal hanya dengan mengatakan,
“Wahai budak hitam…”
Maka, ditegur oleh Rasul s.a.w. bahawa dalam diri Abu Zar masih ada jahiliah. Lalu, apa yang dilakukan oleh Abu Zar. Adakah dia marah dengan teguran itu? Tidak. Bahkan, dia pergi berjumpa dengan Bilal, sambil meletakkan mukanya di atas tanah, dia meminta Bilal memijak mukanya sebagai membalas perbuatannya yang mengeluarkan kata-kata itu.
Kita hari ini, bagaimana? Kalau hendak dinisbahkan cara hukuman Abu Zar terhadap dirinya dengan kita, pastinya muka kita ini lebih layak dipijak banyak kali berbanding Abu Zar, tidakkah begitu?

BAGAIMANA MEREKA BERGERAK, SEPATUTNYA BEGITULAH KITA

Mereka adalah generasi contoh. Generasi awal Islam yang sentiasa memberi motivasi untuk kita terus berjuang. Lihatlah mereka dan ambillah pengajaran.
Bagaimana hebatnya ukhuwah antara Abd Rahman bin Auf dan Saad bin Rabi dalam peristiwa Hijrah, itulah yang ingin kita contohi.
Mereka itu tidak pernah pun berjumpa, bahkan tidak pernah berutus surat apalagi bertanya khabar melalui facebook seperti yang kita miliki sekarang. Mereka memang tidak pernah berjumpa kecuali pada waktu hijrah itu sahaja. Tetapi, lihatlah. Bila mereka dihubung atas iman, ukhuwah yang mendominasi diri mereka menyebabkan proses taqmil wa istiqmal itu berjalan dengan hebat sekali.
Abd Rahman datang dalam keadaan tidak memiliki apa-apa. Saad bin Rabi’ selain menawarkan separuh hartanya, dia juga menawarkan isterinya. Antara dua orang, pilih sahaja isteri mana satu yang dikehendaki oleh Abd Rahman bin Auf. Kalau kita di tempat Abd Rahman, apa yang kita lakukan agaknya bila menerima tawaran sebegitu? Abd Rahman bin Auf bahkan tidak mengambil kesempatan langsung di atas kemurahan hati saudaranya itu. Beliau cuma meminjam beberapa dinar daripada Saad bin Rabi’ sebagai modal memulakan perniagaannya.
Mereka itu, mampu saling melengkapi dalam keadaan tidak mengenali, bahkan menjadi lebih hebat setelah mereka saling mengenali. Kita bagaimana?


TEMASYA KE SYURGA PERLU DIGERAKKAN BERSAMA

Saidina Abu Bakar as-siddiq ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah, beliau telah berpesan:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya aku telah dilantik di kalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka, jika aku melakukan kebaikan, bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong, maka betulkanlah aku.”

Perhatikanlah kerendahan hati seorang sahabat Nabi. Walaupun beliau seorang sahabat yang sangat akrab dengan Nabi s.a.w., tetapi beliau tetap meminta agar orang lain dapat membantu melengkapkan dirinya. Bila kita saling melengkapi, maka pastinya lebih mudah perjalanan menuju Ilahi ini. Bila kita saling melengkapi, pastinya kebahagiaan hidup di atas iman lebih mudah dirasai.
Kita tidak hanya ingin sekadar diri kita sahaja menapak di syurga, bahkan kita akan rasa sangat terkilan bila melihat mereka yang pernah bersama kita di dunia, tidak bersama kita di syurga.
Lihatlah Rasul s.a.w., beliau tidak hanya merisaukan dirinya, tetapi sibuk memikirkan tentang ummatnya. Bahkan, di akhirat nanti, bila dibangunkan semula di akhirat nanti, perkara pertama yang menjadi kerisauannya adalah ummatnya.
Kita, adakah saudara kita yang bersama kita sekarang ini, menjadi kerisauan kita, atau kita hanya sekadar merisaukan diri kita? Suasana dalam syurga itu nanti sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Waqiah ayat 25-26 bermaksud :

“Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya mendengar ucapan: ” selamat! selamat! ” (dari satu kepada yang lain).”

Dalam syurga, kita hanya mendengar ucapan salam dan ucapan yang baik sahaja antara ahli syurga. Itulah kehebatan temasya di syurga nanti. Hubungan yang baik antara ahli syurga. Tetapi, jika kita tidak mula mempraktikkannya bermula daripada di dunia, apakah mungkin ada ruang dan peluang untuk kita merasainya ketika di akhirat nanti?
Hendak merasai keindahan temasya di syurga, maka kita perlu merancang temasya itu bermula di dunia lagi. Temasya syurga hanya mampu dinikmati keindahannya bila proses taqmil wa istiqmal dilaksana ketika di dunia

Solat Hajat Sempena Peperiksaan Dan Penganugerahan Sijil Kelas Al-Quran

Sempena minggu peperiksaan, Kelab Insaniah KPTM Bangi dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar
( MPP) telah mengadakan Majlis Solat Hajat Sempena Peperiksaan Dan Penganugerahan Sijil Kelas Al-Quran pada 26 April bertempat di Surau Al-Hidayah Desasiswa KPTM Bangi pada pukul 7.00-9.45 malam.

Majlis ini di serikan dengan kehadiran Imam Muda Aran sebagai jemputan kelab kami. Pada mulanya,jemputan kami adalah Imam Muda Nazrul, namun di sebabkan hal yang tidak dapat di elakkan,Imam Muda Nazrul telah digantikan oleh Imam Muda Aran. Syukur Alhamdulillah kerana panggantian di saat akhir itu telah di permudahkan oleh Allah dengan persetujuan Imam Muda Aran unutk hadir pada malam tersebut. Ribuan maaf kepada para pelajar di sebabkan ketidak hadiran Imam Muda Nazrul seperti yang telah janjikan.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Sabda Rasulullah SAW bermksud :

“…Tiada suatu kaum dari umatku yang berhimpun di dalam rumah daripada rumah-rumah ALLAH (masjid) membaca kitab ALLAH (Al-Quran) dan saling mempelajari isi Al-Quran antara mereka melainkan akan diturunkan ketenangan ke atas mereka, disirami ke atas mereka rahmat, Malaikat akan merendahkan sayapnya dan ALLAH menyebut-nyebut mereka pada sesiapa di sisi-Nya…” (Riwayat Muslim)

Majlis di mulakan dengan solat Maghrib berjemaah dengan berimam Imam Muda Aran di susuli pula dengan solat hajat. Sementara menunggu waktu isyak, ceramah di berikan oleh Imam Muda Aran khas kepada pelajar KPTM dan Coventary sebagai persediaan buat mereka yang bakal mengahadapi peperiksaan. Dengan ceramah yang di berikan,insyaAllah sedikit sebanyak memberi semangat ,renungan dan pengajaran kepada para pelajar dalam berusaha mencari ilmu buat bekalan hidup di dunia dan akhirat sekaligus menjadi hamba Allah yang berjaya bukan sahaja di dunia malahan hingga ke akhirat sana. Sejurus selesainya ceramah yang di sampaikan, penyampaian Sijil Kelas Al-Quran di mulakan.

Turut menghadiri majlis adalah Pengarah KPTM Bangi dan Timbalan Pengarah Akademik.
Ribuan terima kasih atas sokongan dan kehadiran.




Alhamdulillah, kehadiran 200 lebih pelajar pada malam tersebut sangat memberangsangkan kerana melebihi dari jangkaan sebanyak 150 pada mulanya. Syukur ke hadrat Allah kerana Majlis Solat Hajat Sempena Peperiksaan Dan Penganugerahan Sijil Kelas Al-Quran ini mendapat sambutan yang baik dari para pelajar.

'' Allah akan mengabulkan doa hambaNya yang ketika memintanya tidak terburu-buru ingin segera dikabulkan..''
(HR.Bukhari-Muslim)

Akhir kata, kami ahli Kelab Insaniah mengucapkan selamat berjaya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Man Jadda Wa Jada : Siapa berusaha pasti berjaya..

'' Barangsiapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga'' (HR Muslim)

Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajar kamu. (HR. Ath-Thabrani)

Menuntut ilmu wajib atas tiap muslim (baik muslimin maupun muslimah). (HR. Ibnu Majah)


Friday, April 20, 2012

10 Muwasafat Tarbiyyah

بِسمِ اللّهِ الرَّحْمنِ الرَّحَيْم



1)Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:
Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan. Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:
"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi." Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.


4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.


5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.




6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.


 Jom tarbiyyahkan diri dan jiwa kita! ^__^

Friday, April 6, 2012

Amal Jariah di Zoo Negara



Lajnah Hal Ehwal Putera Puteri Insaniah ( HEPPI ), Kelab Insaniah Kolej Poly-Tech MARA Bangi telah berjaya mengadakan Program Kebajikan di Zoo Negara pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 31 Mac 2012 baru-baru ini seramai 40 orang yang terdiri 3 orang penasihat Kelab Insaniah iaitu Ustaz Mohd Fazli Bin Ibrahim, Ustaz Elmi bin Baharuddin dan Ustazah Nurul Huda Binti Abdul Rashid. Program ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada semua pelajar Kolej Poly-Tech MARA Bangi kerana kebanyakan daripada mereka tidak pernah membuat kerja amal di Zoo Negara.


Semua peserta berkumpul di lobi Asrama Desasiswa Kolej Poly-Tech MARA Bangi pada pukul 6.45 pagi. Perjalanan kami dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Pengarah Program iaitu Fatin Nabilah Binti Ismail tentang syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Zoo Negara. Semua peserta bertolak daripada asrama pada pukul 7.15pagi dan perjalanan kami hanya mengambil masa selama 45 minit. Setibanya kami di Zoo Negara pada pukul 8.00pagi, kami berkumpul di depan Pejabat Education Department dan diberi taklimat ringkas daripada Cik Nabihah, Staff Education Department Zoo Negara.


MENYEDIAKAN MAKANAN UNTUK HAIWAN



ZIRAFAH


KANCIL


HARIMAU


Beberapa Zoo Keeper akan dipecahkan kepada 7 sekyen yang terdiri daripada 5 atau 6 orang sukarelawan. Setiap seksyen akan dibawa ke kandang masing-masing untuk diberikan tugas oleh Zoo Keeper seperti kandang burung, zirafah, gajah, seladang, rusa, tapir, kancil, kambing, keluang, beruang, pademalon dan lain-lain. Kami diberikan tugas untuk membersihkan kandang, mandikan haiwan dan memberikan haiwan makan.


KANCIL

BURUNG


KELAWAR


PENYU

ULAR

GAJAH

MEMBERISHKAN KANDANG ZIRAFAH

Pihak KPTM BANGI ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan memohon maaf kepada semua peserta Program Kebajikan di Zoo Negara di atas kelancaran selama program ini berjalan. Disini juga kami berpeluang melihat haiwan yang selama ini hanya dilihat di kaca televisyen berada di depan mata. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Akan sentiasa diingati bersama. Akhir sekali, kami pulang pukul 5.15 petang dan selamat sampai ke Asrama Desasiswa Kolej Poly-Tech MARA Bangi pada pukul 6.20 petang.


Thursday, March 29, 2012

Disebalik Redha Itu..

Sikap redha dengan ketentuan Allah didasari keyakinan teguh terhadap sifat – sifat Allah s.w.t seperti Maha Pengasih (al – Rahman), Maha Penyayang (al – Rahim), Maha Bijaksana (al – Hakim) dan Maha Mengatahui ( al – Amin).
Ia menyakini bahawa pengetahuan Allah jauh lebih tinggi dan lebih luas jika dibandingkan pengetahuan semua hamba-Nya. Justeru, Allah lebih mengetahui sesuatu yang baik atau yang buruk untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri.
Dan kerana sifat rahmat-Nya kepada makhluk, Allah hanya menentukan sesuatu yang terbaik untuk hamba-Nya meskipun ketentuan itu kadang terasa pahit.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengatahui, sedang kamu tidak mengatahui.” (Surah al – Baqarah 2:216)

Allah menguji kita dengan sesuatu yang sangat kita sayang, kita diberi cubaan dengan kehilangan. Allah menguji kita dengan sebuah impian yang amat kita harapkan, kita terduduk berlinang airmata saat impian kecundang…
Anda juga pernah merasa begitu?
Ya.. Kita kan hamba pada-Nya yang Esa, kita juga hadapi ujian yang sama seperti ini. Sesungguhnya yakinlah DIA pemberi segala, kerana segalanya kepunyaan-Nya.
Saat ditariknya nikmat yang ada, DIA sedang mengaturkan untukmu sesuatu yang lebih berharga. Jangan bersedih, dunia ini tidak selayaknya ditangisi.

Yang kita dapat tidak semestinya yang kita pinta..
Yang kita minta belum tentu yang terbaik buat kita..
Yang terbaik buat kita tak semestinya Allah suka..
Belajarlah redha apa yang kita ada..
Itulah yang terbaik buat kita..
Walaupun itu bukan yang kita suka..

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop